See me in other links




Like-like

Wednesday, July 29, 2015

Tetamu Tidak Diundang…


Usai menunaikan solat Maghrib di surau, kain telekung dan sejadah kulipat. Perutku ‘bergendang’  minta diisi. Dah hampir 4 jam aku terpaksa menunggu keputusan ujian di makmal. Nasib aku kurang baik malam ini. Terpaksa ‘overtime’ sendirian di makmal.

‘Apa nak buat, dah nasib badan. Lagi cepat siap, lagi cepat aku boleh mula tulis Bab 3 dan Bab 4, nanti tak perlu terkejar-kejar….’

Aku menuruni tangga foyer dan menuju ke koridor gelap yang terletak berhadapan dengan makmal. Nasib baik makmal hanya di tingkat bawah, tak perlulah aku mendaki anak tangga dalam suasana sunyi begini. Angin malam bertiup sepoi-sepoi bahasa. Nikmatnya….Syukur Alhamdulillah. Sudah lama Bumi tidak dibasahi hujan, harap malam ni hujan walaupun sebentar. Tak lama kemudian, bunyi guruh berdentum memecah kesunyian.

Perutku yang sedari tadi berbunyi minta diisi. Mee goreng buat ku jadikan alas perut. Selesai makan, aku menjenguk sampel di dalam inkubator dan mengambil bacaan. Semakin besar dan comel belaka sampel bakteria aku berbintik bintik di atas plat.

Tiba-tiba, perutku memulas. Aku bergegas ke tandas tanpa membuang masa. Sunyi. Aku tidak mahu berfikir bukan-bukan. Kalau tidak, memang tak selesai lah tugasan aku di makmal. Setelah selesai menunaikan ‘hajat’, aku bergegas kembali ke makmal dalam keadaan separuh berlari.

Entah kenapa, aku berasa tidak sedap hati. Terasa seperti ada ‘sesuatu’ yang berada bersama aku pada waktu itu. Namun aku cuba abaikan, perasaan barangkali. Sebelum membuka pintu makmal yang tertutup rapat, aku dapat merasakan ada sesuatu yang tidak kena di belakang pintu bilik yang ingin dibuka. Jantungku berdegup kencang tanpa dipinta.

"Tak apa, Allah ada bersama-sama. Insya Allah tiada apa-apa."

Tapi malangnya, bila pintu dibuka, aku terus pitam tidak sedarkan diri.


***

Bila aku tersedar, aku seperti sedang berlari menyelamatkan diri, seolah-olah badanku bertindakbalas dengan sesuatu bahaya. Seperti tangan teralih apabila tersentuh objek panas.

Aku berlari keluar dan terus ke kawasan parker motosikal dan memecut laju motosikal mengharungi hujan dalam kepekatan malam. Waktu itu, aku sudah tidak pedulikan barangan yang masih tertinggal dan keadaan makmal yang terbuka. Ahh! Esok aku tutup lah lampu makmal.

Sampai sahaja di kolej, ketakutan menyelubungi diri aku. Aku menggigil tidak henti. Akibatnya, aku hanya berwuduk dengan air mineral untuk solat. Kemudian aku terus lelapkan mata. Otakku terasa kosong, aku tidak dapat berfikir. Hanya kesakitan yang terasa menjalar di sendi badanku.

Esoknya, kunci makmal kuserahkan kepada temanku tanpa sepatah kata. Hatiku serabut, resah dan keletihan. Aku sendiri tidak tahu apa yang dirasai. Perkara ini berlarutan seminggu. Hanya dengan memohon ketenangan dariNya, aku mula kembali tenang seperti biasa. Sehingga kini, aku juga tidak tahu sama ada perkara yang dialami adalah akibat penangan keletihan atau hanya perasaan semata.

Bila difikirkan semula ‘sesuatu’ aku lihat dalam makmal ketika itu, entahlah, aku pun tidak tahu. Aku rasa apa yang aku nampak ialah;

Aku sendiri yang sedang menunggu aku…….


No comments: